LOGO 3 SERANGKAI

naning.my

IKTIRAF DATUK NANING

ALOR GAJAH: Lembaga Adat Perpatih Naning Melaka meminta kerajaan negeri mempertimbangkan pengiktirafan gelaran Datuk Naning supaya warisan itu tidak pupus dalam lipatan sejarah negeri.

 

Pembesar Waris, Datuk Seri Kamaruddin Manap berkata, pihaknya bersedia berjumpa dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali bagi membincangkan perkara tersebut.

 

Katanya, sehingga kini, lembaga tersebut masih belum diiktiraf dan dibimbangi ia akan terus dilupakan, sedangkan susur galur Naning didakwa telah menyumbang dalam mempertahankan Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

 

“Kita sebagai pewaris orang Melayu terasa benda ini (tiada pengiktirafan) amat rugi kepada bangsa, kalau hilang bermakna identiti kita juga hilang, malah, generasi akan datang pun tidak tahu mengenai Naning.

 

“Kerana itu, saya berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan untuk mengiktiraf Datuk Naning, kajian juga telah dibuat dan kita bersedia mengemukakan kepada Ketua Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Wilayah Adat Perpatih Naning, Kampung Pereling, Melekek di sini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pengiktirafan itu juga selari dengan Fasal 34 Undang-undang Tubuh Negeri Melaka.

 

“Dalam rangka ini kita nak menyelesaikan isu-isu Naning berpandukan kepada Fasal 34 dan berkait dengan Persekutuan 19 (2).

 

“Jadi dalam perlembagaan, beliau (Sulaiman) seharusnya mengiktiraf Datuk Naning mengikut adat warisan,” jelasnya.

 

Tegas Kamaruddin, pihaknya juga tidak pernah mengeluarkan anugerah membabitkan kerajaan negeri.

 

Beliau memberitahu, apabila Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan, Naning telah menjadi sebahagian daripada Melaka.

 

“Naning dibahagikan kepada 25 mukim di seluruh negeri ini termasuk Ramuan China Besar, Sungai Baru Ulu, Masjid Tanah, Sungai Udang, Ayer Paabas, Lendu, Pegoh, Kelemak, Rembia, Batang Melaka, Jus dan Nyalas,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

ALOR GAJAH - Pewaris keturunan Naning di sini memohon kerajaan negeri mempertimbangkan dan mengiktiraf pelantikan Datuk Naning yang dilantik menerusi Lembaga Adat Perpatih Naning Melaka.

 

Pembesar Waris Ketiga, Datuk Kamaruddin Manap berkata, pihaknya telah berjumpa dengan ketua-ketua menteri sebelum ini namun permohonan tersebut dinafikan serta dinasihatkan agar menyelesaikannya sendiri mengenai hal adat tersebut.

 

"Kita ada jumpa ketua-ketua menteri yang lepas dan usaha tersebut (menyelesaikan) telah kita berjaya lakukan.

 

"Jadi kita mohon kerajaan negeri mengiktiraf pelantikan beliau dan Lembaga Adat Perpatih Naning Melaka mengikut Fasal 34 Perlembagaan Undang-Undang Tubuh Negeri Melaka," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

 

Katanya, anak-anak adat Perpatih Naning Melaka sangat komited untuk menyelesaikan isu berkaitan pewarisan Naning di Melaka dan antara usaha yang akan dijalankan ialah berbincang dengan pengerusi Lembaga Adat Perpatih Naning Melaka dan pembesar waris untuk mengatur pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

 

"Dalam perlembagaan, kerajaan negeri kena mengiktiraf Datuk Naning itu sendiri. Memang benar ada pihak lain yang mengaku sebagai Datuk Naning tetapi orang itu tidak mengikut adat istiadat Naning sebenar dan kerana itu kita mahu satu pengiktirafan sebenar diberikan," katanya.

Beliau menjelaskan, Lembaga Adat Perpatih Naning Melaka melantik Datuk Undang Naning, Datuk Mohd Nazrol Mahamad Supar sebagai Datuk Penghulu Naning mengikut Adat Perpatih.

 

Katanya, adalah satu kerugian jika bangsa Naning yang terdapat di 25 mukim di negeri ini tidak diiktiraf kerajaan negeri.

 

"Jika tiada tindakan, identiti bangsa ini akan hilang begitu saja dan kita boleh lihat, orang muda tidak tahu sulur galur keturunan mereka ini," katanya. - Bernama

iktirafkan