SIAPAKAH DATO
JUARA MEGAT?
1. Menurut
catatan Belanda dan beberapa sumber lisan di Naning, Dato Juara Megat ialah
Penghulu Naning yang ketiga selepas Dato Megat Junjungan Limau dan Dato Megat
Alam Melintang.
2. Orang-orang
tua dan salah seorang pemuka Adat di Naning yakni Dato Nan Kayo Abu Husin
menyatakan bahawa, Dato Juara Megat ialah seorang WANITA yang bernama Juariah
Megat (Juariah Binti Megat?) yang memangku Pesaka Penghulu Naning sekitar tahun
1699 / 1700 masehi sehingga 1705 masehi.
3. Jika Dato
Juara Megat mula memangku pesaka Penghulu Naning sekitar tahun tersebut, kami
menjangkakan baginda mungkin dilahirkan sekitar tahun 1670 - 1676 masehi di
Naning. Ini berdasarkan faktor kematangan usia pada penghujung tahun 1699
hingga 1700 masehi yang memungkinkan baginda dititahkan oleh Sultan Johor untuk
melaksanakan tugasan keatas watak Genta Di Langit sekaligus diperakui sebagai
pemangku pesaka Penghulu Naning seperti catatan sejarah.
MEMBUKA BELAH
LUAK JEMPOL
4. Mengikut
catatan oleh J.E Nathan dan R.O Winstead melalui jurnal mereka bertajuk 'Papers
On Malay Subject : Johol, Inas, Ulu Muar, Jempul, Gunong Pasir, and Terachi -
Their History And Constitution', dinyatakan bahawa Dato Juara Megat telah
memimpin sekumpulan keluarga dari Tanah Bisa / Biso (kemudian dikenali sebagai
Naning) terdiri daripada suku Sri Melenggang berhijrah ke Jempol, kemudian
dikatakan seseorang bernama SITI AWAN dari keluarga ini telah berhijrah pula
menuju kawasan bernama Anak Ayer Songsang.
5. Jika menurut
tahun terakhir Dato Juara Megat memangku pesaka Penghulu Naning iaitu pada 1705
masehi, berkemungkinan baginda beserta keluarga Sri Melenggang telah mula
berangkat ke Jempol pada tahun tersebut atau setahun selepas itu.
BERTELAPAK DI
JOHOL
6. Responden
kami, En. Malik dari Kampung Kuala Nuri menegaskan bahawa masyarakat suku
Semelenggang yang bermaustatin di Luak Johol, mereka semua berasal dari Luak
Naning yang dibawa oleh rombongan keluarga Dato Juara Megat.
7. Menurut En.
Malik, Undang Luak Johol yang Pertama yakni Dato Sitiawan I pada tahun 1723
masehi bernama SITI AWA ialah Dato Juara Megat itu sendiri yang sebelum itu
datang dari Jempol. Jika dikira sela masa keberadaan SITI AWAN (yang dicatatkan
pada kronologi nombor 3 diatas) di Jempol sekitar tahun 1705 masehi, bermakna
18 tahun selepas atau sewaktu sela masa tersebut SITI AWA @ AWAN ditabal kan
sebagai Dato Undang Johol Pertama.
8. Kedudukan
pemimpin dari suku Semelenggang di dalam Luak Johol diketuai oleh seorang
Lembaga bergelar Dato Andika @ Dato Niko. Beliau dibantu oleh seorang Buapak
bergelar Dato Raja Lela. Seorang Jejuak bergelar Panglima Putih turut di
sandang oleh anak buah suku ini. Jika diamati gelaran Lembaganya yakni ANDIKA
ialah nama salah seorang pembesar kepada Penghulu Naning ke Sembilan iaitu Dato
Dol Said sewaktu meletusnya Perang Naning 1832 masehi.
9. Telapak
istana Dato Sitiawan I terletak bersebelahan dengan makam baginda yang terletak
di Kampung Tengah, Tanggai, Air Mawang Johol. Sebuah bangunan kayu tersergam
indah yang kini sepi bertemankan tumbuhan dan unggas.
Demikianlah
sedikit kembara dari kami untuk anda terutama kepada masyarakat di Naning agar
dapat menjadi selarik cahaya di suatu masa.
Yang jauh
dijemput
Yang dekat
dikampungkan
Hilang dicari
Cicir dipungut
Patah tumbuh
hilang berganti,
Hilang satu
berganti satu,
Raja mati raja
menanam,
Sekali air bah
sekali pantai berubah,
Sekali raja
betukar,
Sekali adat
berkisar.
[Tok Ompek
Kembara Tanah Biso]
1 Jamadil Akhir
1440
Demikianlah
perbilangan orang tua-tua, maka kami Kembara Tanah Biso bersama tetamu undangan
saudara Fauzie Basrie dari Kota Tinggi, Johor telah selamat melaksanakan misi
menjejak & mencari di luar Wilayah Adat Perpatih Naning akan duduk letaknya
anak-anak buah Naning yang telah lama terputus khabar berita dari pengetahuan
dan ingatan.
Semalam pada
tarikh 5 Februari 2019 bersamaan 30 Jamadil Awwal 1440, telah sampailah kami ke
Air Mawang di dalam Luak Johol dan diketemukan dengan salah seorang tokoh adat
masyarakat suku Semelenggang Naning yang bertelapak di Kampung Kuala Nuri
bernama En. Malik, yang diperkenalkan oleh salah seorang pembaca kami iaitu
saudara Nor Azhar.
Kami kongsikan hasil temuramah 'berkampung' bersama En. Malik melalui rumusan nota berkronologi dan foto-foto beserta penerangan yang mengiringi hantaran ini untuk tatapan pembaca. Sukalah kami menyatakan bahawa hantaran ini ialah bersifat pemerhatian dan anggaran kami mengenai subjek utama Dato Juara Megat yang menjadi persoalan sejak sekian lama. Kesimpulan hasil dari perkongsian kami pulangkan kepada para peminat dan pembaca untuk dicerna.