Keselarasan politik Naning adalah sebuah sistem ‘kekhalifahan’ yang dicipta anggotanya sebagai medium pengawalan ke atas sesebuah kelompok anggota lain dalam sesuatu kebudayaan (Luqman, 2018:137). Pengawalan ini bertindak sebagai penguasaan sesuatu individu atau sebahagian kelompok kecil anggota dalam lingkungan kelompok anggota yang lebih ramai. Secara tidak langsung, penguasaan ini membawa kesan kepada tingkah laku kelompok masyarakat Naning yang dipengaruhi menurut kehendak atau keinginan penguasanya. Kepelbagaian kebudayaan manusia di dunia telah menunjukkan sistem politik Naning sebagai sebuah ilmu pengetahuan yang menjadi asas kepada pembentukan kebudayaan dalam masyarakatnya.
Sungguhpun di Nusantara kebiasaannya mengamalkan konsep monarki namun politik di Naning sebaliknya. Pemimpin tertinggi akan dipilih oleh ahli lembaga adat yang mewakili setiap suku dalam Wilayah Naning. Pemimpin tertinggi Naning merupakan seorang penghulu wilayah yang bergelar Orang Kaya Seri Raja Merah atau Datuk Naning (Mohd Shah, 2000:84).
Konsep ini dikenali sebagai Adat Nan Berjenjang Naik iaitu pemilihan secara sebulat suara dari pembesar-pembesar tempatan. Kaedah ini dicedok dari pelantikan Khalifah Saidina Uthman bin Affan iaitu beberapa calon dikemukakan dan dipilih oleh para sahabat yang besar (Hamka, 2016:236). Calon pemimpin tertinggi mesti mempunyai susur galur daripada Datuk Perpatih Nan Sebatang sebagai salah satu kriteria utama.
Konsep politik Naning amat menitik beratkan mengenai kelangsungan waris dalam sesebuah suku untuk menyandang sesebuah jawatan penting. Tradisi politik Naning telah memperuntukan setiap suku dalam wilayahnya memiliki jawatan tertentu bagi menstabilkan sistem pentakbiran tempatan. Umumnya, sistem matrilineal yang diamalkan adalah bersifat penentuan suku seseorang dan kaum lelaki adalah kumpulan yang diberi kuasa menjawat jawatan politik. Maka, wanita merupakan penurun nasab suku dan berhak menguruskan
‘pusaka bersekat’ iaitu sebuah jawatan dan gelaran yang telah termaktub dalam sesebuah suku.
Harus dijelaskan bahawa wanita hanya berhak mengurus sahaja namun kuasa memakai dan mentadbir masih lagi dipegang kaum lelaki. Justeru, perkara ini masih tertakhluk dengan pegangan Islam yang meletakkan lelaki sebagai ketua dan wanita sebagai tulang belakang kepada sistem pentadbiran yang dikuasai lelaki.
Ibu Soko merupakan gelaran kepada wanita yang berperanan menyelia pentadbiran politik di Naning. Mereka mempunyai kuasa penuh ke atas warisan yang diperuntukkan ke atas sesebuah suku termasuklah melantik seseorang menyandang jawatan politik (pusaka bersekat) dan memecat seseorang dari jawatannya (Pusaka Luroh). Terdapat tiga jenis Ibu Soko dalam sistem politik keselarasan adat Perpatih Naning iaitu Ibu Soko Nan Tigo, Ibu Soko Suku dan Ibu Soko Perut. Umumnya, Ibu Soko Nan Tigo adalah wanita generasi tertua yang mempunyai anak perempuan dan mempunyai latar belakang kekeluargaan daripada kerabat Datuk Naning.
Mereka dibahagikan kepada tiga subsuku daripada anak perempuan Moyang Itam (rujuk Mohd Shah 2000:456) iaitu Anum (Perut 1), Jaiyah (Perut 2) dan Amor (Perut 3).