LOGO 3 SERANGKAI

naning.my

ADAT PERPATIH NANING MELAKA

Terdirinya Naning menjadi sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat ialah melalui ‘penerokaan’ iaitu nenek moyang yang menerokanya pada abad yang ke 13. Kumpulan keluarga yang mula-mula sampai dari Alam Pagar Ruyung,Minangkabau Sumatera pada abad yang ke 13 mengandungi 4 kumpulan keluarga iaitu :

Kumpulan Keluarga Nan Bergajah Tunggal iaitu Keluarga Diraja

Kumpulan Keluarga Semelenggang

Kumpulan Keluarga Tiga Batu

Kumpulan Keluarga Mungka


Sesampainya kumpulan ini di tanah besar Semenanjung ini ialah hendak naik ke hulu untuk meneroka. Hasrat kumpulan ini diikuti satu kumpulan baru yang diberi nama Kumpulan Keluarga Anak Melaka. Akhirnya kumpulan ini sampai ke satu tempat yang diberi nama Kampung Pengkalan, yang berhampiran dengan pekan Alor Gajah dan kumpulan ini telah membuka beberapa menempatan baru sepertiKampung Kelemak, Kampung Paya Datuk, Bukit Serusok, Bukit Tompunek, Bukit Biso yang di kenali Bukit Penyalang dan beberapa lagi kawasan baru yang telah diteroka . Merantaunya anak-anak raja dari Alam Pagar Ruyung Minangkabau ke Kepulauan Melayu khususnya Negeri Melaka (sekarang) diketuai oleh Dato' Temenggong dan tiga orang adik perempuan tiri dan seorang adik lelaki tiri iaitu satu emak lain bapa,empat orang puteri seorang putera tersebut bernama :

Puteri Reno Mande

Puteri Ambon Suri

Puteri Cahyo Dune

Putera Balun bergelar Dato' Pepatih Nan Sebatang


Dato' Temenggong telah membuka penempatan di persisir pantai dan mewujudkan adat yang diberi nama Adat Temenggong. Dato' Perpatih Nan Sebatang telah memecah tradisi pembukaan penempatan, maka Dato' Perpatih Nan Sebatang talah menjelajah hingga ke pedalaman dan tiba di satu kawasan yang bernama Pengkalan. Disitulah bermulanya cara hidup yang kini diberi nama Adat Pepatih dan diguna pakai hingga ke hari ini. Keturunan Bergajah Tunggal ini telah membina masyarakat yang penuh adat istiadat hingga ke kurun 16 lahir seseorang pemimpin bagi mengetuai masyarakat berkenaan. Pemimpin tersebut diberi nama Penghulu Naning. Penghulu Naning yang pertama ialah Dato' Megat Alam Melintang pada tahun 1641.


LEMBAGA ADAT

Ketiga-tiga perut (Ibu) Nan Bergajah Tunggal telah sepakat memilih putera di kalangan mereka untuk diangkat menjadi Dato' Penghulu Naning (Undang Naning). Maka satu jawatankuasa ketika itu diwujudkan iaitu Pembesar Waris . Seandainya Dato' Penghulu Naning mangkat maka akan dilantik pula dikalangan putera ibu yang lain seterusnya akan berterusan mengikut giliran. Dato' Penghulu Naning memerintah dengan dibantu oleh Lembaga Adat.


MAKNA UNDANG

Seorang yang berkuasa dan mempunyai hak pemutus dan berkuasa membuat serta memasyhurkan undang-undang (adat). Maka di dalam Wilayah Adat Perpatih Naning ialah YAM Pusaka Kebesaran Orang Kaya Seri Raja Merah (Undang Naning) yang diberi kuasa oleh adat yang diadat yang berbunyi :-

Sokali air bah

Sokali pasir berubah

Sokali Rajo Boganti

Sokali Adat Bokisar

Undang Nan Bokolantasan

Hidup mati Kopado Undang

Undang Nan menitik

Lombago Nan Monampong

Anak Buah Bosolimut pagi

Bosolendang potang

(Tambo Alam Naning ms. 84 (29xvii) (u)


KUASA ADAT :- Kuasa Khas

Undang Nan Bokolantasan

Hidup Mati Kopado Undang

Undang Nan Menitikan

Lombago Nan Monampong

Kok Bolenggang tak tosangkut

Kok melonjak tak tosorunduk


Begitulah kata adat yang memberi kuasa khas kepada Undang Naning dan juga kuasa pemutus.

(Tambo Alam Naning ms. 103 (43))


RAJA MATI RAJA MENANAM

Adat berkata :-

Patah tumbuh hilang boganti

Hilang satu boganti satu

Tak boleh dianjak , dialih lagi

Dicabut bopantang layu

Dianjak bopantang mati

Raja mati Raja menanam

Sohari tanam sohari tumbuh


Maka dengan rangkap kata ini kuasa bagi Undang itu tidak akan ada gantinya dan tidak boleh dipecat semasa hidupnya .Dan hendaklah dilantik gantinya sebelum dimakamkan. Bermakna Undang itu tidak ada putusnya melainkan bersambung. Inilah yang dimaksudkan "Raja Mati Raja Menanam" (Tambo Alam Naning ms. 96 (36))


HAK UNDANG NANING

Bahawa apabila Lombago Nan Bosokat iaitu Tiang Balai, Isi Balai didapati kesalahan dibawah fasal 56 (Tambo Alam Naning) maka Posako itu terserah kepada Undang Naning memberitahu suku yang berkenaan seluruh Wilayah Adat Perpatih Naning supaya menghantar calon kepada Balai Undang Naning untuk dipertimbangankan dilantik sepanjang adat nan di adatkan oleh Undang Naning .

(Tambo Alam Naning ms. 114 (56A))


SALAH BUAT PUSAKO LURUH

Kata adat ini tidak diadatkan (mesti tidak boleh) meluruhkan (pecat) pusako Undang Naning.

Kata adat ini khas kepada Lombago Nan Bosokat seperti :-

Lombago Undang Naning, Tiang Balai, Isi Balai .

Dato' Setia Bakti - Penghulu Adat Mukim .

Lombago yang berpangkat Tuo dan Lombago yang berpangkat Buapak.

Lombago yang lain seperti Imam, Khatib, Bilal, dan juga Lombago Syarak, juga Posako Melayang yang lain.(Tambo Alam Naning ms.75(29-xv(s)


Maksudnya ialah apabila seorang Dato' Lombago Nan Bosokat itu telah didapati melakukan satu kesalahan yang mencemarkan kebersihan posako yang dijunjung itu seperti menghukum luar dari kuasanya atau telah didapati melakukan kesalahan bersalah salahan dan yang lain-lainya maka posako yang dijunjung itu luruhlah iaitu terserahlah pada yang hak . Jika posako suku maka terpulang pada sukunya akan melantik yang lain pula. (Tambo Alam Naning ms114.(56)(III)ms.136(79))


MENJUNJUNG PUSAKO SEUMUR HIDUP

Bahawa kemudian daripada itu, maka seseorang anak buah yang telah dilantik menjunjung pusako Orang Kaya Seri Raja Merah Dato' Penghulu Naning (Undang Naning) diadatkan baginya menjunjung posako itu seumur hidup. Apabila telah selesai istiadat bokorjan Berkerjaan. (Tambo Alam Naning ms. 178 ( 122 ))


Bahawa diadatkan bagi Yang Amat Mulia Dato' Orang Kaya Seri Raja Merah Dato' Penghulu Naning (Undang Naning)bagi melantik :-

Empat Orang Pembesar Waris Undang Naning (Bab VI Fasal 101)

Tujuh Orang Lembago Nan Bosokat yang berpangkat Lombago Undang Naning iaitu (Tujuh Orang Lembago Yang Bersekat yang berpangkat Lembaga Undang Naning )

Empat Orang Berpangkat Tiang Balai Undang Naning

Tiga Orang Berpangkat Isi Balai Undang Naning (Bab VI Fasal 102 , Bab IX Fasal 145 dan147)

Dua puluh lima Orang Lombago Nan Bosokat yang Berpangkat Penghulu Adat Luak; Seorang bagi tiap-tiap satu Luak nan dua puluh lima yang bergelar Dato' Setia Bakti (Dua puluh lima Orang Lembaga yang Bersekat yang Berpangkat Penghulu)

Adat seorang bagi tiap-tiap satu Mukim yang terdiri dari dua puluh lima yang bergelar Dato' Setia Bakti (Bab IX Fasal 159 dan 160)