Pemerintah Naning Susun Strategi Perang Gerila & Guna Senjata Tradisional Untuk Tumpaskan Askar British Ketika Peperangan Empat Bulan
ADA kejadian aneh dan mistik yang diceritakan berlaku ketika
tentera British cuba menjajah ibu kota Naning iaitu Taboh dengan menyerang
pejuang Melayu, Dol Said serta pasukannya dalam Perang Naning Kedua 1832.
Seperti diceritakan beberapa penduduk lama kawasan itu,
apabila tentera penjajah cuba mendatangkan kerosakan di muka bumi Naning (kini
kawasan Alor Gajah, Melaka), penduduk tempatan diketuai Penghulu Dol Said
bangkit mempertahankan tanah air mereka.
Bagaimanapun, peristiwa misteri dan ajaib adalah demi
membela tanah air, penentangan terhadap segerombolan tentera British itu tidak
saja disertai penduduk watan tetapi turut disertai ribuan serangga Naning iaitu
serangga yang seakan-akan penyengat besar.
Mengikut cerita penduduk tempatan, kejadian aneh itu
menyebabkan tentera British kelam-kabut.
Mungkin ia disebabkan ‘KERAMAT’ atau sebagainya dan timbul cadangan supaya tentera British melemparkan benda najis dan kotor ke seluruh kawasan itu terlebih dulu bagi menghilangkan keramat seterusnya menghindarkan serangan berkenaan .
Selepas mengotorkan bumi Naning, barulah tentera British
kembali menyerang pasukan Dol Said. Tentangan British bagaimanapun tidak
semudah disangka kerana ia dibalas hebat dan sengit oleh pasukan Dol Said
walaupun sekadar bersenjatakan parang, lembing dan senjata tradisional.
Akhirnya, selepas peperangan itu berlarutan selama kira-kira
empat bulan, akhirnya pasukan Dato' Naning itu tewas kepada kemampuan meriam
serta senapang British dan negeri merdeka seluas kira-kira 67,000 hektar itu
kemudian dijajah pada Jun 1832.
Malah, ramai tidak mengetahui yang British pernah malu besar
ketika menentang Naning pada Perang Naning Pertama 1831 - maruah mereka sebagai
kuasa besar dunia ketika itu, jatuh dari tempat tertinggi ke lantai paling
rendah.
Sebagai kuasa besar dunia yang memiliki empayar jajahan
luas, pernah menyertai dan memenangi banyak peperangan dengan kuasa besar lain
termasuk menyertai Perang Dunia Pertama selain memiliki kelengkapan senjata dan
meriam yang digeruni; mereka akhirnya kalah kepada NEGERI KECIL NANING pada 1831 yang mana
penyerangnya hanya menggunakan parang dan senjata tradisional.
Mengimbas perjuangan tokoh kebebasan tanah air itu, jelas bahawa ia berlaku atas semangat cintakan tanah air di kalangan penduduk Naning yang diketuai pemerintahnya iaitu Dol Said atau nama sebenarnya Abdul Said. Mereka bersatu padu menentang usaha British untuk menjajah negeri mereka.
Dol Said ketika itu adalah pemerintah NANING iaitu SEBUAH
NEGERI yang berjiran dengan MELAKA jawatannya digelar Dato' Seroja Merah
mengikut adat pepatih, tetapi TARAFNYA menyamai RAJA dan SULTAN.
Beliau dilahirkan pada 1773 dan berasal daripada suku
Semelenggang iaitu satu daripada dua suku yang bergilir memegang jawatan Dato'
Naning, selain suku Biduanda. Tokoh pahlawan itu dilantik sebagai Dato' Naning
kesembilan ketika berusia hanya 26 tahun.
Rentetan sejarah perjuangan penduduk Naning terhadap kuasa
penjajah sudah berlangsung dalam tempoh yang lama membuktikan semangat
nasionalisme anak watan sememangnya disemai generasi demi generasi.
Apabila Portugis menjajahi Melaka sekitar abad ke-16, Naning
sering menyerang penjajah itu yang berkubu di negeri jiran mereka. Begitu juga
apabila Belanda mengalahkan Portugis lalu mengambil alih pemerintahan Melaka
pada abad ke-17, mereka turut diserang penduduk Naning.
Peperangan berdasarkan NEGERI JIRAN mereka iaitu MELAKA
dijajahi rakyat asing dan sebagai negeri berjiran, Naning sering diganggu kuasa
asing itu.
Seterusnya British mengadakan perjanjian bersyarat dikenali
Perikatan London dengan Belanda pada 1824 iaitu British akan menyerahkan
pemerintahan mereka di Bengkulu, Sumatera kepada Belanda dan Belanda
menyerahkan Melaka kepada pemerintahan British .
Sejak itu, British menguasai dan memerintah Melaka dan bermulalah kisah persengketaan dan perjuangan suci antara Dol Said dan pengikutnya dengan kuasa asing itu, demi mempertahankan tanah air MERDEKA mereka iaitu Naning.
Sebelum itu pada 1801, ketika British memerintah Melaka
sementara dari Belanda ketika Perang Napoleon, satu perjanjian sudah dibuat
Naning yang diwakili Dato' Dol Said dan empat ketua suku dengan British,
disebabkan Naning adalah NEGARA jiran kepada MELAKA yang dikuasai British.
Antara syarat perjanjian itu adalah Naning perlu menghantar satu persepuluh daripada hasil pertanian mereka kepada British. Sebelum ini pun Naning ada menghantar hasil pertanian mereka kepada Belanda sebagai tanda persahabatan dan apabila British memerintah, Naning bersetuju menghantar bahagian itu sebagai kelangsungan tanda persahabatan dengan Melaka (British) tetapi British pula menganggap Naning menghantar hasil itu disebabkan Naning tunduk kepada kekuasaan mereka .
Apabila Melaka dipulangkan kembali British kepada pihak
Belanda di bawah Perikatan Vienna selepas Perang Napoleon pada 1818, perjanjian
penghantaran hasil itu mungkin turut dimansuhkan.
Belanda memerintah Melaka selama kira-kira tujuh tahun
sebelum diserahkan kepada British melalui Perikatan London 1824. Apabila
British kembali memerintah, mereka ingin menguatkuasakan kembali perjanjian
penghantaran hasil tahunan Naning yang sudah dimansuhkan.
Bagaimanapun, takrifan satu persepuluh daripada hasil
pertanian Naning seperti dikemukakan British adalah melampau dan terlalu tinggi
sehingga membebankan penduduk.
Konflik timbul apabila British mendakwa bahawa Naning adalah
sebahagian daripada Melaka dan berada di bawah pemerintahan British tetapi ia
disangkal Dol Said yang menyatakan bahawa Naning adalah negeri merdeka.
Dol Said sanggup menghantar hasil tahunan sebagai tanda
persahabatan tetapi tidak mahu menghantar jika British menganggap yang negeri
itu adalah sebahagian dari Melaka dan mereka mesti tunduk kepada British .
Konflik itu berlarutan apabila Naning enggan tunduk kepada
undang-undang diperkenalkan British apabila pada 1828, Dol Said menyelesaikan
sendiri satu kes bunuh di Naning. Tindakan itu menyemarakkan lagi sengketa
apabila British mendakwa kes bunuh itu perlu dihakimi oleh mereka di Melaka
kerana Naning adalah sebahagian dari Melaka.
Dol Said diberi amaran oleh British berhubung perkara itu
sehingga membangkitkan kemarahan tokoh itu.
Gabenor Negeri-negeri Selat (negeri-negeri selat adalah
Pulau Pinang, Singapura dan Melaka yang diperintah British) iaitu Ibbetson
melihat Naning sebagai jajahan Melaka yang ingkar dan menentang British
menyebabkan mereka membuat keputusan untuk menyerang dan menakluki negeri itu .
Keputusan itu menjadi pencetus kepada Perang Naning Pertama
1831. Sikap angkuh British menyebabkan mereka memandang rendah terhadap Naning
dengan anggapan bahawa negeri kecil dan miskin itu mampu dikalahkan dalam
tempoh sehari saja.
Lalu mereka menghantar pasukan kecil tentera iaitu seramai
150 anggota yang diketuai Kapten Wyllie untuk menyerang negeri itu pada 6 Ogos
tahun itu.
Dol Said sudah menyedari rancangan serangan British itu
menyebabkan dia mengumpul penduduk Naning dan mendapatkan bantuan ketenteraan
negeri jiran antaranya dari Yamtuan Ali Rembau, Pembesar Sri Menanti, Penghulu
Linggi dan Datuk Kelana Sungai Ujong .
Tanpa pengetahuan British, pasukan Naning sudah dibentuk
dengan kira-kira 4,000 kekuatan tentera untuk menghadapi 150 tentera British.
Bagaimanapun, British memiliki beberapa kelebihan kerana memiliki senapang dan
membawa sebuah meriam manakala pasukan Dol Said sekadar bersenjatakan parang,
lembing dan senjata tradisional.
Selain kekuatan anggota, Dol Said juga bijak merencanakan
strategi perang apabila melancarkan serang gerila. Tentera British sentiasa
diserang di kawasan hutan sejak mereka memulakan ekspedisi ke Naning.
Pasukan gerila hutan Dol Said menggunakan taktik menanam
ranjau sebagai jerangkap samar ketika tentera British melalui laluan hutan.
Mereka turut menebang pokok merentangi laluan tentera British sekali gus
menghalang perjalanan mereka kerana British membawa meriam menggunakan kereta
lembu.
Ketika tentera British sibuk dan leka membersihkan laluan dan mengalihkan pokok yang ditebang, pasukan Dol Said menyerang hendap mereka dan taktik serupa dilakukan berulang kali sepanjang laluan dari Melaka ke Naning, taktik itu nyata berkesan apabila tentera British terpaksa melarikan diri pulang ke Melaka akibat kecederaan, walaupun perjalanan mereka sudah memakan masa kira-kira 18 hari dan sudah sampai di Meleket iaitu kira-kira tujuh kilometer dari Naning. Melihat pasukan mereka pulang dengan kecederaan dan kalah teruk sebelum sempat menjejakkan kaki di Naning, pemerintah British menjadi berang dan mereka kembali mengumpul kekuatan untuk melancarkan gelombang Perang Naning Kedua 1832.
* Begitulah artikel yang dipetik dari pengkaji Sejarah yang
juga Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti
Malaya (UM), Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali .