Muafakat Warga
Adat Teras Memperkukuh Warisan dan Institusi
SAMBUTAN Hari Kemenangan Perang Naning Ke-195
yang berlangsung hari ini menjadi wadah bersejarah dalam mengenang keberanian
serta perjuangan pahlawan tempatan, Dato’ Dol Said, bersama para pejuang tanah
air yang mempertahankan maruah dan kedaulatan Naning daripada campur tangan
British pada tahun 1831.
Lebih daripada
sekadar sebuah acara memperingati sejarah, sambutan berkenaan menzahirkan tekad
untuk memastikan semangat perjuangan, nilai muafakat dan keluhuran adat terus
menjadi asas penyatuan masyarakat Naning untuk generasi masa hadapan.
Majlis istiadat
berkenaan telah dirasmikan oleh Dato’ Undang Wilayah Naning Melaka Ke-20, Yang
Mulia Kebawah Kaus Orang Kaya Seri Raja Merah Dato’ Mohd Nazrol Ibni Dato’
Paduka Seri Mahammad Supar.
Dalam
amanatnya, YAM Dato’ Undang Naning Ke-20 menegaskan bahawa sejarah perjuangan
Dato’ Dol Said tidak seharusnya berhenti sebagai catatan masa lalu, sebaliknya
perlu dihayati sebagai sebuah amanah yang mengandungi nilai perjuangan,
keberanian dan kesatuan hati yang wajar diwariskan kepada generasi akan datang.
Menurut
baginda, kekuatan perjuangan terdahulu lahir daripada kesatuan hati dan
semangat muafakat dalam mempertahankan maruah bangsa serta institusi. Prinsip
tersebut, katanya, kekal relevan dalam mendepani cabaran semasa yang memerlukan
kebersamaan dan kematangan seluruh warga Naning.
Sehubungan itu,
seluruh warga Naning diseru menjadikan sejarah sebagai sumber kekuatan untuk
terus menyatukan masyarakat, selain memelihara keluhuran Adat Perpatih Naning
yang berteraskan prinsip “Adat Bersendikan Syarak, Syarak Bersendikan
Kitabullah.”
Sumber :
stailista
