LOGO 3 SERANGKAI

naning.my

HILANG DICARI JAUH DIPUNGUT : JUARA MEGAT TALI AMANAT

SIAPAKAH DATO JUARA MEGAT?

 

1. Menurut catatan Belanda dan beberapa sumber lisan di Naning, Dato Juara Megat ialah Penghulu Naning yang ketiga selepas Dato Megat Junjungan Limau dan Dato Megat Alam Melintang.

2. Orang-orang tua dan salah seorang pemuka Adat di Naning yakni Dato Nan Kayo Abu Husin menyatakan bahawa, Dato Juara Megat ialah seorang WANITA yang bernama Juariah Megat (Juariah Binti Megat?) yang memangku Pesaka Penghulu Naning sekitar tahun 1699 / 1700 masehi sehingga 1705 masehi.

 

3. Jika Dato Juara Megat mula memangku pesaka Penghulu Naning sekitar tahun tersebut, kami menjangkakan baginda mungkin dilahirkan sekitar tahun 1670 - 1676 masehi di Naning. Ini berdasarkan faktor kematangan usia pada penghujung tahun 1699 hingga 1700 masehi yang memungkinkan baginda dititahkan oleh Sultan Johor untuk melaksanakan tugasan keatas watak Genta Di Langit sekaligus diperakui sebagai pemangku pesaka Penghulu Naning seperti catatan sejarah.

 

MEMBUKA BELAH LUAK JEMPOL

 

4. Mengikut catatan oleh J.E Nathan dan R.O Winstead melalui jurnal mereka bertajuk 'Papers On Malay Subject : Johol, Inas, Ulu Muar, Jempul, Gunong Pasir, and Terachi - Their History And Constitution', dinyatakan bahawa Dato Juara Megat telah memimpin sekumpulan keluarga dari Tanah Bisa / Biso (kemudian dikenali sebagai Naning) terdiri daripada suku Sri Melenggang berhijrah ke Jempol, kemudian dikatakan seseorang bernama SITI AWAN dari keluarga ini telah berhijrah pula menuju kawasan bernama Anak Ayer Songsang.

5. Jika menurut tahun terakhir Dato Juara Megat memangku pesaka Penghulu Naning iaitu pada 1705 masehi, berkemungkinan baginda beserta keluarga Sri Melenggang telah mula berangkat ke Jempol pada tahun tersebut atau setahun selepas itu.

 

BERTELAPAK DI JOHOL

 

6. Responden kami, En. Malik dari Kampung Kuala Nuri menegaskan bahawa masyarakat suku Semelenggang yang bermaustatin di Luak Johol, mereka semua berasal dari Luak Naning yang dibawa oleh rombongan keluarga Dato Juara Megat.

 

7. Menurut En. Malik, Undang Luak Johol yang Pertama yakni Dato Sitiawan I pada tahun 1723 masehi bernama SITI AWA ialah Dato Juara Megat itu sendiri yang sebelum itu datang dari Jempol. Jika dikira sela masa keberadaan SITI AWAN (yang dicatatkan pada kronologi nombor 3 diatas) di Jempol sekitar tahun 1705 masehi, bermakna 18 tahun selepas atau sewaktu sela masa tersebut SITI AWA @ AWAN ditabal kan sebagai Dato Undang Johol Pertama.

 

8. Kedudukan pemimpin dari suku Semelenggang di dalam Luak Johol diketuai oleh seorang Lembaga bergelar Dato Andika @ Dato Niko. Beliau dibantu oleh seorang Buapak bergelar Dato Raja Lela. Seorang Jejuak bergelar Panglima Putih turut di sandang oleh anak buah suku ini. Jika diamati gelaran Lembaganya yakni ANDIKA ialah nama salah seorang pembesar kepada Penghulu Naning ke Sembilan iaitu Dato Dol Said sewaktu meletusnya Perang Naning 1832 masehi.

9. Telapak istana Dato Sitiawan I terletak bersebelahan dengan makam baginda yang terletak di Kampung Tengah, Tanggai, Air Mawang Johol. Sebuah bangunan kayu tersergam indah yang kini sepi bertemankan tumbuhan dan unggas.

 

Demikianlah sedikit kembara dari kami untuk anda terutama kepada masyarakat di Naning agar dapat menjadi selarik cahaya di suatu masa.

Yang jauh dijemput

Yang dekat dikampungkan

Hilang dicari

Cicir dipungut

Patah tumbuh hilang berganti,

Hilang satu berganti satu,

Raja mati raja menanam,

Sekali air bah sekali pantai berubah,

Sekali raja betukar,

Sekali adat berkisar.

 

[Tok Ompek Kembara Tanah Biso]

1 Jamadil Akhir 1440

Demikianlah perbilangan orang tua-tua, maka kami Kembara Tanah Biso bersama tetamu undangan saudara Fauzie Basrie dari Kota Tinggi, Johor telah selamat melaksanakan misi menjejak & mencari di luar Wilayah Adat Perpatih Naning akan duduk letaknya anak-anak buah Naning yang telah lama terputus khabar berita dari pengetahuan dan ingatan.

 

Semalam pada tarikh 5 Februari 2019 bersamaan 30 Jamadil Awwal 1440, telah sampailah kami ke Air Mawang di dalam Luak Johol dan diketemukan dengan salah seorang tokoh adat masyarakat suku Semelenggang Naning yang bertelapak di Kampung Kuala Nuri bernama En. Malik, yang diperkenalkan oleh salah seorang pembaca kami iaitu saudara Nor Azhar.

 

Kami kongsikan hasil temuramah 'berkampung' bersama En. Malik melalui rumusan nota berkronologi dan foto-foto beserta penerangan yang mengiringi hantaran ini untuk tatapan pembaca. Sukalah kami menyatakan bahawa hantaran ini ialah bersifat pemerhatian dan anggaran kami mengenai subjek utama Dato Juara Megat yang menjadi persoalan sejak sekian lama. Kesimpulan hasil dari perkongsian kami pulangkan kepada para peminat dan pembaca untuk dicerna.